Bismillah.
Salam dakwah buat semua, Murabbi dan Murabbiah saya.
Dedikasi buat guru-guru saya serantau asia, chewah, ummi saya yang menjadi guru paling berpengaruh, turut juga ustaz ustazah yang pernah mendidik saya di Taski Kampung Kebun Bunga, Shah Alam. Cikgu-cikgu saya di Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 Shah Alam.
Tenaga pendidik di SMK Seksyen 4 Kota Damansara yang sungguh-sungguh dedikasi. Gaji kalian kecil tapi semangat kalian besar. Untuk Cikgu Rozita Rashid, Cikgu Azura Kamaruddin, Cikgu Azriza, Cikgu Mariam Musa dan dan murabbi-murabbiah yang lain (terlalu ramai yang berjasa lagi tercinta), juga tidak lupa guru-guru yang sudah melangkah ke alam lain.
Pensyarah di Kolej Matrikulasi Perak, yang saya kira cukup mesra dan prihatin serta tidak jemu dalam mendidik saya dalam pejalanan pengajian dua tahun di sana. Pensyarah di Fakulti Bioteknologi dan Sains Molekular UPM. Ustaz dan Ustazah di Pusat Bahasa Arab dan Pengajian UPM. Teman-teman yang pernah mengajarkan sesuatu kepada saya, yang hingga hari ini tidak pernah jemu menitipkan ilmu dan pengalaman.
Turut sama juga, saya mahu ucapkan Selamat Hari Guru kepada mereka-mereka yang bergelar guru, pengetua, ustaz, ustazah, profesor. Tidak kiralah mengajar subjek apa pun, mengajar di mana pun, sama ada masih bekerja ataupun sudah bersara, anda tetap warga pendidik !
*******************************
Bila tibanya Hari Guru, mula terkenangkan sesuatu.
Terkenangkan segala pahit dan manisnya menjadi seorang pelajar kepada guru-guru yang telah banyak mendidik.
Teringatkan suara ustaz kalanya sahabat baca doa di perhimpunan.
Teringatkan cikgu fizik yang suka pasang lagu bila dalam makmal.
Teringatkan cikgu yang paling garang dalam sekolah.
Teringat cikgu yang tidak pernah lepas tangannya dari rotan.
Teringatkan cikgu yang sangat peka dengan anak murid yang suka tidur.
Teringatkan cikgu yang ada denda-denda yang unik, seperti disuruh menyanyi.
Percaya atau tidak, saya pernah dikenakan denda seperti ini.
Teringatkan semangat cikgu bila Hari Sukan sekolah.
Teringatkan ada cikgu yang memang suka manjakan kita.
Semua kenangan ini, teramat sukar sekali untuk dibuang begitu sahaja. Biarpun manis, sekalipun pahit, kita akan cuba untuk menyimpannya sebaik mungkin kerana itulah antara memori terindah bagi hidup seorang manusia.
Ada para sahabat yang menegur saya, “Aku lihat, kau ni, kenapa setiap kali cuti semester, mesti kena pergi sekolah, bagus benar, tapi apalagi yang ada?”. Bukan kerana apa, kerana saya masih sayang dan rindukan murabbi murabbiah saya serta suasana sekolah itu. Bagi saya, bagi manusia yang melupakan gurunya adalah manusia yang tiada nilai atau perasaan untuk menghargai orang lain. Mungkin boleh digelar sebagai seorang manusia “bagai kacang lupakan kulit.”
Bila adanya sambutan Hari Guru, menandakan hari ini sangat istimewa untuk meraikan warga pendidik. Pendidik yang tidak henti mencetak manusia melalui ilmu yang mereka ada. Pendidik yang tidak henti mengorbankan masa demi orang yang dididiknya. Pendidik yang tidak pernah mengharapkan apa-apa selain dari kejayaan anak-anak didik mereka.
Inilah pendidik.
Sungguh, kerja mencetak manusia itu ternyata payah !
Payah kerana mencetak manusia memerlukan ketabahan yang tinggi dan sanggup berkorban apa sahaja.
Jika anda terlalu sibuk melihat orang yang berjaya mengukir kejayaan di dalam hidupnya, lihatlah siapa yang telah banyak berkorban untuknya. Percayalah, ternyata gurunyalah dan ibu bapanyalah yang lebih berjaya dari orang yang telah berjaya tadi.
Semacam juga kita dalam usrah, mesti kena ada murabbi atau murabbiyah yang mendidik dan mengawal arah tuju mutarabbinya.
Dan itulah pendidik.
Mendidik demi agama.
Mendidik demi melihat sebuah ummah yang berjaya.
Mendidik demi mempertahankan ilmu di dada.
Ternyata, jika jelas matlamat, senanglah untuk mencapai impian, bukan? Matlamat pendidik yang jelas, itulah yang akan memajukan orang yang dididiknya.
Dan bagi orang yang dididik pula, pastikan matlamat anda juga jelas kerana kehidupan di dunia ini bukan untuk orang yang tidur dan hanya sibuk mengumpul mimpi-mimpi indah, lalu tersengih sendirian tanpa sebarang usaha.
Pendidik telah penat berusaha demi kita, dan kini terserah pula untuk kita terus-menerus berusaha.
Berusaha dengan gigih kerana satu ketika dahulu ada yang telah banyak berusaha demi anda.
Ilmu milik-Nya.
Ilmu dari yang Maha Mengetahui.
Ilmu yang semakin diterokai, semakin kita mengenal Dia.
Ilmu yang semakin kita tambah, semakin kita berasa jahilnya diri.
Dan dari siapakah warisan ilmu ini?
Pendidik!
“Laulal Murabbi Ma’araftu Rabbi”
(kalau tidak kerana guruku, tidak akan kukenal siapa Tuhanku)
Sungguh, bila terkenangkan jasa pendidik. Terlalu banyak!
Hanya mampu berharap Allah yang membalasnya.
Mengharap hidup mereka sentiasa diberkati.
Mengharap pintu rezeki mereka sentiasa terbuka luas .
Mengharap mereka sentiasa bahagia di dunia dan akhirat.
Mengharap mereka akan senantiasa dianugerahi pahala yang melimpah ruah.
Mengharap mereka juga menjadi ahli Firdaus-Nya.
InsyaAllah!
InsyaAllah, pengharapan kepada Allah tidak sia-sia.
Kerana hanya pada Dia saya mampu berharap segalanya.
----------------------------------------------------------------
Untuk guru-guruku,
Semasa dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi, universiti,
Ternyata kamu semua seperti bintang buat diriku,
Kerana hari ini bersinarnya diriku adalah kernamu.
Dari mimbar inilah,
Pernah kalian nafaskan aku dengan harapan,
Pernah kalian bangkitkan aku dengan usaha,
Pernah kalian kejutkan aku dari damainya lena,
Pernah kita jalani susah senang bersama.
Dulu,
Dihadapanmu ini hanyalah anak kecil,
Yang tak punya apa-apa melainkan cita,
Yang tak mengerti apa-apa melainkan tawa,
Kini asuhanmu membawa jaya,
Jadi barisan insan berguna.
Kerana semangat berjuang pada diri ini yang ada,
Kehangatannya datang dari kalian semua.
Murabbi-murabbiahku,
Andai masa itu tidak pergi secepat itu,
Aku ingin menatap mu lebih lama,
Berteman senyum mu,
Membuat ku tenang bahagia,
Tertawa bersama dan belajar bersama.
Ternyata kamu wahai murabbi-murabbiahku,
Engkau seperti mentari dan air yang mengalir buat diriku,
Yang telah menerangkan siang,
Memberi cahaya dalam hidupku
Juga bagai jernihnya air itu,
Sehingga mampu membasuh karat-karat dalam diriku.
Wahai Murabbi-Murabbiahku,
Andai terlalu banyak kesalahan dalam diri ini,
Malah jika ada yang tidak dapat kau maafkan,
Aku ingin meminta sekali lagi,
Berilah kemaafan,
Kerana tidak sanggup aku menongkah dunia tanpa berkat darimu.
Duhai kalian para Murabbi-Murabbiahku,
Kau didik aku dengan kesabaran,
Walau tak jarang segudang pemikiran,
Kau didik aku dengan kelembutan,
Sungguh cintaku buat kamu semua,
Selagi nyawa ini dikandung badan,
Selagi ilmumu ku pakai,
Selagi itu akan ku terus mencintaimu,
Kerana jika tidak mencintaimu,
Ibarat aku sudah tidak tahu bagaimana menghargai cinta.
----------------------------------------------------------------
Maaf, cikgu-cikgu yang telah banyak mendidik saya, mungkin tiada hadiah, hanya sekadar tulisan dan ucapan. Namun, doaku buat semua yang telah berjaya mendidik saya sehingga hari ini tidak pernah putus.
Alhamdulillah jua kerana masih lagi Allah bagi kesempatan untuk diri menimba seberapa banyak ilmu yang berada di bumi kampus ini. Dan Alhamdulillah jua kepada Allah yang memberi taufiq dan hidayah untuk diri sentiasa mencari dan menampung kekurangan diri yang ada. Tanpa murabbi dan murabbiah saya, tidaklah saya kenal dunia. Doakan kejayaan saya semoga menjadi insan bermanfaat.
Namun saya percaya, kejayaan yang sebenar bukanlah terletak pada lebarnya senyuman di wajah kita. Tapi pada wajah mereka. Rantaian senyuman pada wajah ibu, ayah, guru-guru dan sahabat-sahabat.
Moga kejayaan hari ini, membuah kejayaan jua di akhirat nanti.
Moga kejayaan ini, memberi erti dalam menggapai redha Ilahi. Allahumma ameen.
Selamat Hari Guru wahai Murabbi-Murabbiah tercinta.






























